Sebutan Menjadi Amalan

Perkara yang patut disebut-sebut selalu dan sebaliknya untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1) Perbanyakkan menyebut tentang Allah SWT daripada menyebut tentang makhluk

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah SWT. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah SWT berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2) Perbanyakkan menyebut tentang akhirat daripada menyebut tentang urusan dunia

Dunia terlalu sedikit masanya dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan  Wawasan Dunia (WD) sahaja hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan telah dijanjikan keuntungan berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3) Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah dijamin akan masuk syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh  perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4). Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam resmi ayam 'bertelur sebiji, riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita, itu boleh menimbulkan satu penyakit hati iaitu ‘ujub. Penyakit ‘ujub ini ibarat api dalam sekam yang merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riya' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (riya') tidak akan mencium bau syurga. Riya' adalah satu unsur dari syirik khafi. Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa kebaikan yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang yang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita seorang yang baik. Kita terlupa pula kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.


5). Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Kegelapan hati yang ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa akan keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita, bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Namun, ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengelak dari usaha dakwah Islamiah.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan terapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...

No comments:

Post a Comment