Kemajuan Dunia Kerana Tuhan, Faedahnya Sesama Insan


Membina kemajuan, mencari kesenangan, bukanlah satu kesalahan.
Kemajuan dan kesenangan amatlah diperlukan dalam kehidupan.

Namun, bila sudah dapat kemajuan dan kesenangan, bukan senang hendak mengekalkan sifat kehambaan.
Mencari ilmu hingga menjadi pandai memanglah disuruh, sesetengah ilmu wajib dipelajari.
Kalau tidak pula kita pelajari, menjadi satu kesalahan di sisi Tuhan.
Kerana ia member pelbagai faedah kepada kepentingan umum dalam kehidupan.

Tetapi apabila dapat kita menguasai ilmu, bukan senang merendah diri sesama insan.
Ramai yang ego dan sombong dengan kepandaian.

Kekayaan tidak salah dicari.
Kalau pandai menggunakan kekayaan ramai juga yang dapat dibela.
Masyarakat akan dapat manfaatnya.

Tapi setelah kaya bukan senang hendak menjaga hati.
Biasanya datang sifat bangga, bakhil pun tiba, cinta dunia pun berbunga,
orang yang miskin pula dihina.

Menjadi pemimpin bukanlah salah. Adakalanya ia menjadi fardhu kifayah.
Tapi setelah menjadi pemimpin biasanya watak mudah berubah.
Sebelumnya  lemah lembut jadi pemarah, biasanya penyayang menjadi pemberang.
Dahulu bertimbang rasa sekarang menjadi zalim pula.

Begitulah manusia susah hendak mengekalkan rasa kehambaan.
Setelah senang, mewah, ada nama, biasanya lupakan Iman.
Jauh sekalilah hendak takut dan cintakan Tuhan.

Begitulah watak dunia.
Kalau tidak maju, terhina.
Jika maju menghina pula.
Berjaya dalam kehidupan, berbangga.
Tidak Berjaya, inferiority complex pula.
Berjaya pun datang sifat negatif, tidak berjaya pun begitulah juga
Mengapa terjadi begitu?
Di mana salah silapnya?
Buat jadi bahaya, tidak buat pun bahaya juga!
Silapnya mencari kemajuan dunia & bukan untuk keredhaan Tuhan.
Tetapi keredhaan manusia di dalam kehidupan.
Maka terjadilah seperti yang telah disebutkan.

Rupanya dunia itu memang diperlukan.
Tapi ia seperti anak gadis, jarang kita tidak digodanya.
Atau dunia seperti ular berbisa.
Pandai menggunanya ia menghiburkan.
Tapi jarang orang tidak dipatuknya.

Oleh itu, carilah kemajuan dan kesenangan dunia, ia bukannya satu kesalahan.
Kalau diusahakan kerana Tuhan, pasti bahagia dengan kenikmatan.
Di samping mendapat kasih sayang Tuhan.
Senang dan bahagia di alam duniawi.
Selesa dan gembira di akhirat nanti.

Buatlah kemajuan dunia kerana Tuhan, faedahnya sesama insan

No comments:

Post a Comment