UKHUWAH = PERSAUDARAAN



Aku membicarakan perihal ukhuwah dalam skala yang lebih besar. Manusia, sering melihat bahawa ukhuwah itu hanya terbatas kepada hubungan antara dua manusia sahaja. Tetapi, ukhuwah yang sebenarnya adalah, tidak terbatas kepada manusia sahaja, dan tidak semestinya dengan orang yang kita kenal semata.

     Bila kita merujuk kembali berkenaan ukhuwah, kita akan dapat melihat bahawa, ukhuwah yang baik itu tidak dapat tidak adalah dibina daripada keimanan yang benar kepada Allah SWT. Hal ini kerana, serendah-rendah ukhuwah adalah bersangka baik kepada sahabat kita. Perkara itu, yakni bersangka baik itu tidak akan sekali-kali dapat kita capai, melainkan kita mempunyai keimanan yang mantap kepada Allah SWT, dan  meyakini bahawa Allah SWT tahu apa yang kita simpan dalam hati kita. Maka, tidak akan tergerak di dalam jiwa kita untuk bersangka buruk kepada sahabat.


     Melihat pula kepada tingkatan tertinggi ukhuwah, yakni ithar, ataupun melebihkan sahabat berbanding diri sendiri. Perkara ithar ini, tidak akan mampu disentuh oleh manusia, melainkan dengan keimanan yang benar juga. Hal ini kerana, ithar itu secara sindirinya berdiri atas pengorbanan. Melebihkan orang lain daripada diri sendiri adalah satu taudhiah. Manusia, biasanya sukar untuk membalas pengorbanan manusia lain kepada dirinya, dengan balasan yang setimpal. Justeru, keimanan kita kepada Allah SWT, meyakini bahawa Allah SWT yang akan membalas kebaikan kita akan membuatkan kira tegar untuk melebihkan sahabat kita dalam apa perkara sekalipun.

     Kita perlu sedar bahawa, kita membina ukhuwah sebagai menyahut perintah Allah SWT yang menyatakan bahawa semua orang yang beriman itu bersaudara.

     Allah SWT berfirman yang bermaksud:
  
     "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah, dan bertakwalah kamu kepada Allah, moga-moga kamu mendapat rahmat."
(Surah al-Hujurat 49:10)


     Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:


     "Tidak beriman seorang kamu itu melainkan dia mencintai sahabatnya, sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."
(Riwayat al-Hadis)


     Simfoni ukhuwah ini tidak lagi dimainkan dalam kehidupan masyarakat hari ini. Jangan kata melebihkan orang lain, hatta bersangka baik pun sudah hancur dimamah hasad dan bersangka-sangka. Tanpa ukhuwah, tidak akan terbina kesatuan ummah. Bila tidak bersatu, maka ummah akan runtuh dengan mudah.


     Sepatutnya umat Islam hari ini memandang sejarah lama dan mengambil pengajaran. Lihatah bagaimana bijaknya penjajah Barat, meruntuhkan khalifah Islam. Mereka memecahbelahkan hubungan antara orang beriman ini dengan sempadan. Akhirnya, daripada situ muncullah masyarakat yang sama dalam keimanannya, tetapi mementingkan diri masing-masing sahaja, tanpa ada rasa persaudaraan yang benar kepada saudara seimannya yang lain, walau bersebelahan negara.

     Sebab itu, bila kita bicarakan tentang kebangkitan Islam, mahu atau tidak, kesatuan itu perlu dibina. Perlu ada kelompok manusia yang benar-benar faham maksud ukhwah ini, dan menterjemahkannya dalam kehidupan mereka. Ukhuwah yang berdiri di atas keimanan yang jelas, akan mewujudkan kekuatan yang tidak terjangka.

     Lihat sahaja bagaimana 313 orang Muslimin mampu menumbangkan 1000 orang musyrikin Makkah dalam peperangan Badar. Mereka tidak mampu jika hubungan yang mantap dan saling percaya-mempercayai tiada.

    
     Aku berkongsi kisah sebelum peperangan Badar, di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang Ansar boleh pulang ke Madinah, memandangkan perjanjian mereka dengan Rasulullah SAW adalah untuk melindungi Baginda di dalam Madinah, bukan di luar. Tetapi salah seorang sahabat Ansar berkata:

     "Ya Rasulullah, kami tidak akan mengatakan kepada kamu sebagaimana Bani Israel menyatakan kepada Musa. Pergilah kau dengan Tuhan kau berperang dan kami akan menunggu hingga kau menang. Tetapi ya Rasulullah, kami akan berkata kepada kamu, 'Pergilah kau dengan Tuhan kau berperang, dan kami akan bersamamu!'"

     Seseorang itu sanggup bergadai nyawa, kalau bukan kerana kasih sayang sudah mendalam merasuk di jiwa? Apakah siraman yang boleh menyuburkan benih ukhuwah ini? Itulah dia iman kepada Allah SWT. Percayalah bahawa, Allah SWT akan membalas pengorbanan kita dalam ukhuwah ini.

    
     Ukhuwah, bukan juga hanya untuk mereka yang seangkatan, sebaya dan sebagainya. Aku mengambil contoh tenaga pengajar di SMKA Kuala Lumpur dan pelajar-pelajar sekolah ini. Aku menyatakan bahawa, tenaga pengajar dan pelajar-pelajar turut perlu menjalinkan ukhwah. Tenaga pengajar dan pelajar-pelajar perlu berkenalan, faham-memahami dan sayang-menyayangi. Masing-masing perlu lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Pelajar-pelajar memerlukan tenaga pengajar untuk menjaga dan mendidik mereka. Tenaga pengajar, memerlukan anak-anak ini untuk meneruskan cita-cita mereka pada masa akan datang.

     Begitu juga suami dengan isteri, ibu bapa kepada anak-anak, kita kepada jiran, malah kita kepada orang bukan Islam juga perlu pada hubungan ikhlas ini. Islam itu syumul, dan kita perlu tonjolkan kesyumulan ini dalam kehidupan kita. Tetapi siapakah yang nampak bahawa hubungan mereka dengan pasangan dan anak-anak mereka satu ukhuwah? Kadang-kadang kita pandang rendah dengan taraf isteri dan anak-anak. Kita sangka, bila jadi ketua keluarga, maka yang lain adalah pengikut semata-mata.

     Ini adalah konsep yang salah.

     Semua kita adalah sama, dan yang membezakan kita adalah takwa. Sepatutnya, kita perlu saling melengkapi, untuk mempertingkatkan takwa ini sebenarnya.

     Allah SWT berfirman yang bermaksud:

     "Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu bermasyarakat dan berpuak-puak, agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang termulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling tinggi takwanya."
(Surah al-Hujurat 49:12)

     Kita juga perlu menjalinkan ukhuwah dengan alam. Menyayangi alam dan menjaga mereka dengan tidak mencemari mereka. Hal ini kerana, kita lengkap-melengkapi dengan alam. Kita memerlukan mereka untuk memberikan kita kehidupan yang kondusif. Kita perlukan udara segar untuk hidup. Dan mereka memerlukan kita untuk menjaga mereka.

    
     Perlu diingatkan juga bahawa, dalam ukhuwah, bukan semuanya manis. Ukhuwah akan diuji. Ukhuwah antara manusia akan digegarkan dengan pelbagai cubaan. Syaitan tidak sukakan kesatuan. Maka penderhaka kepada Allah ini akan berusaha untuk meruntuhkan kesatuan yang terwujud antara hati manusia.

     Maka, dengan keimanan yang mantap sahaja, ukhuwah akan dapat dijaga. Hal ini kerana, syaitan tidak akan mampu menghampiri mereka yang ikhlas dalam menjaga hubungannya. Sebab itu, kita tidak berukhuwah hanya kerana harta, rupa paras atau keturunan. Kita berukhuwah kerana itu adalah perintah Allah SWT. Kita berukhuwah untuk mencapai keredhaan Allah SWT sahaja!

~diadaptasi daripada penulisan Saudara Hilal Asyraf

1 comment: