Assalamualaikum~

Dalam mengucapkan ‘assalamualaikum’, ada kaedah yang ditetapkan oleh Islam. Kita disuruh mengucapkannya dengan lemah lembut, tenang dan dengan suara yang tidak terlalu kuat.

Hal berkenaan bertentangan dengan kebiasaan yang dilakukan oleh sesetengah masyarakat Islam yang langsung tidak mengendahkan adab itu. Ada kalanya secara sengaja memanjangkan sebutan ‘kum’ pada penghujung ucapan salam. Selain menjadi satu kesalahan tajwid yang boleh mengubah makna, ia menunjukkan seolah-olah ucapan yang mulia ini tidak dihormati, malah merosakkan fungsi asalnya sebagai satu doa untuk memohon perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah kepada pengucap dan penerimanya.

Di samping itu, salam diucapkan ketika memasuki sesuatu majlis serta ketika keluar daripadanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda...

"Apabila seseorang daripada kamu tiba dalam majlis, hendaklah dia mengucapkan salam dan apabila bangun daripadanya hendaklah juga mengucapkan salam kerana salam yang pertama itu lebih utama daripada salam yang kedua"

( Hadith riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi )

Jika ucapan mulia ini berterusan menjadi budaya masyarakat, pastilah segala kepincangan dan keruntuhan akan dapat dijauhkan. Hal ini kerana kesejahteraan yang didoakan melalui ucapan salam itu akan sentiasa mengundang rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Seterusnya, membentuk masyarakat Islam yang penyayang dan berbudi pekerti mulia.

Marilah sama-sama kita murnikan kehidupan dan perhubungan kita sehari-hari dengan ucapan agung ini.


Tidak dihitung kaya orang yang banyak harta, tetapi kaya sebenar ialah kaya jiwa

No comments:

Post a Comment