Hari Jumaat, langit yang terang. Kelasku baru sahaja tamat dan aku harus terus pergi ke Islamic House (IH), sebuah rumah yang telah dibeli oleh Persatuan Pelajar Islam (MSA) University of Washington dan diubahsuai menjadi sebuah masjid. Sampai sahaja di dalam ruang solat IH, aku meletakkan beg di tepi dinding dan duduk. Penat. Peperiksaan akhir quarter akan bermula pada minggu hadapan. Projek-projek perlu dihantar tidak lama lagi.. Seusai penantian, khutbah bermula dengan disampaikan oleh Presiden MSA.
Khutbah pertama telah membicarakan tentang keperluan untuk kita (rakyat Amerika) melibatkan diri dalam sistem politik negara Amerika yang telah memberikan kebebasan bersuara. Kebebasan inilah yang menjadi peluang kepada orang Islam yang merupakan minoriti dalam masyarakat di Amerika untuk membela hak Allah dan memperbetulkan pandangan masyarakat terhadap agama yang syumul ini. Islamophobia masih menjadi masalah dalam negara ini. Terdapat ramai ahli politik yang anti-Islam dan mendapat sokongan yang semakin bertambah. Bagaimana mungkin jika suatu hari salah seorang daripada mereka menjadi Preisden Amerika?
Kemudian, khutbah kedua.
"...kisah Nabi Ibrahim 'alaihissalam. Baginda telah menghancurkan berhala-berhala yang kecil dan menggantungkan kapak yang digunakan pada berhala yang paling besar. Apabila ditanya oleh para penduduk yakni penyembah-penyembah berhala, baginda menjawab, 'yang besar itu telah melakukannya.' Para penduduk tersebut membalas, 'tak mungkin! Patung itu mana boleh bergerak.' Maka baginda pun menjawab lagi, 'jadi mengapa kalian tetap menyembah patung-patung itu?' Setelah itu, baginda telah diarahkan agar dibakar hidup-hidup. Api yang telah dinyalakan sungguh besar sehinggakan baginda telah dibaling ke dalam api dengan menggunakan manjanik (catapult). Allah SWT berfirman kepada api agar menjadi sejuk. Apabila ditanya pada suatu hari, apakah masa yang paling indah bagi Nabi Ibrahim AS, baginda berkata, 'saat aku berada di dalam api itu'. Kisah ini sememangnya telah diulang berkali-kali. Namun di sebalik kisah itu juga ada suatu lagi kisah.
Semasa Nabi Ibrahim hendak dibakar, seekor katak telah berusaha untuk memadamkan api yang marak menyala yang bakal digunakan untuk membakar baginda. Dengan sedaya upayanya, katak tersbut mengumpul air sebanyak-banyaknya dan mencurahnya ke dalam api yang nyata tidak terpadam-padam. Usaha katak ini telah ditertawa oleh yang di sekelilingnya dan diejek, 'mana mungkin engkau akan dapat memadamkan api itu.' Katak itu pula berkata, 'kelak nanti apabila disoal oleh Allah apa yang telah aku lakukan, akan ku katakan bahawa aku telah melakukan atas segala kemampuanku untuk melakukan apa yang perlu.' Begitulah juga dengan kita. Walaupun apa yang kita lakukan dirasakan seperti sia-sia dan kecil sahaja, yakinlah dengan ganjaranNya dan lakukanlah usaha kita untuk menegakkan semula agamaNya dengan sebaik-baik kemampuan kita agar Islam dapat dibela. Dan sesunnguhnya Allah telah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah keadaan kita melainkan kita yang mengubahnya sendiri..."
Terharu dengan kisah seekor katak. Kecil. Lemah. Namun tetap berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan redhaNya. Semangatku kembali semula. Aku perlu berusaha dengan lebih gigih. Aku akan lakukan dengan lebih baik kali ini.
salam..is the real story about this mengenai katak? bukan seekoe burung ke?
ReplyDelete