Kita sebenarnya baik :D

MasyaAllah..lama pula tak post. Mari-mari, saya nak ceritakan sesuatu..


Dalam jangka masa hidup yg agak pendek ini, saya telah merasai sesuatu. Apa dia? Mungkin juga perasaan ini sama dengan ramai lagi insan-insan lain yang bertuah di luar sana. Begini...saya telah melakukan perkara-perkara yang boleh juga dikategorikan sebagai maksiat atau sia-sia (tetapi tidaklah saya ingin membongkarkan semua itu di sini kerana Allah SWT melarang perbuatan itu. Lihat http://bincang.net/forum/showthread.php?75159-jangan-sebar-aib-orang-jangan-buka-aib-sendiri&p=1595469&viewfull=1). Namun, apabila saya membaca artikel-artikel agama, berbincang-bincang tentang agama dan mendengar nasyid Islam (dah selalu sangat dengar lagu yang macam-macam..), pendek kata melakukan perkara yang baik, tenang. Rasa tenang dan nikmat! Mungkin ini termasuk dalam kemanisan iman yang dikatakan itu? Apabila seseorang menghayati dan memahami serta mengamalkan Islam, dia akan dapat merasai sesuatu yang menggembirakan yakni kemanisan di hati. Jadi ini membuatkan saya terfikir, betul apa yang diajar: Manusia pada dasarnya dilahirkan di dunia ini dengan hati yang sukakan kebaikan. Pendek kata, Kita Sebenarnya Baik!

Dalam buku teks Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah tingkatan 4 (kalau tersilap, tolong betulkan), hati manusia dikatakan mempunyai satu lumrah yang telah wujud sejak wujudnya manusia itu. Itulah lumrah menyukai kebaikan. Sebenarnya ramai orang yang memeluk agama Islam setelah merasai nikmat bertaubat dan menjauhi maksiat. Mereka suka hidup dalam kebaikan, melihat kebaikan dan melakukannya sama. Di sini saya beri pautan ke artikel yang mungkin boleh dijadikan contoh kepada apa yang cuba saya sampaikan:

http://www.dailymail.co.uk/femail/article-1324039/Like-Lauren-Booth-ARE-modern-British-career-women-converting-Islam.html

Ini pula satu senarai beberapa insan yang memeluk agama Islam:

http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_converts_to_Islam

Maaf jika kurang faham kedua-dua isi tersebut kerana dalam bahasa Inggeris. Tidak mengapa, yang penting, di sini saya ingin berkongsi bahawa kita akan lebih tenang dan gembira apabila melakukan kebaikan. Mengapa ya? Mungkin sekali, ini adalah nikmat yang telah Allah SWT janjikan iaitu apabila seseorang melakukan kebaikan, Allah SWT akan menambah nikmatnya, termasuklah nikmat ketenangan jiwa. Keduanya, apabila kita menggembirakan orang lain, kita juga insyaAllah akan gembira. Selain itu, dari sudut aspek perkara ghaib, pahala yang kita perolehi dan dosa yang dihapuskan juga mungkin menyebabkan kita berasa lebih tenang. Bukankah dosa itu seperti titik hitam yang menggelapkan hati? Bersihkan dan suburkanlah hati kita dengan kebaikan! InsyaAllah kita akan rasai kebahagiaannya.

terima kasih kpd www.iluvislam.com

Sekian sahaja. Semoga dapat sesuatu yang bermanfaat~ ^_^

Baik di dalam?

"Tak pakai tudung, tak semestinya jahat! Mana tau dalam hati sebenarnya baik.."


Dialog tersebut sudah biasa didengari dalam masyarakat yang serba 'bersangka baik' ini. Saya juga pernah mendengarinya. Jadi, di sini saya ingin menerangkan beberapa pendapat sendiri yang mungkin juga boleh diendahkan jika terdapat kesalahan. :)


Kita mula dengan definisi Iman. Apakah Iman? Secara bahasanya ialah percaya. Secara mendalam (cuba periksa buku-buku teks Pendidikan Agama Islam),  ialah mengaku dengan lidah, yakin di dalam hati dan mengamalkan dengan seluruh anggota. Mari kita teliti betul-betul..secara kasarnya, boleh dirumuskan bahawa seseorang yang dikatakan beriman perlu memenuhi ketiga-tiga perkara ini: mengaku dengan lidah, yakin di dalam hati, mengamalkan dengan seluruh anggota. Mengaku dengan lidah. Ini sesuatu yang kita tidak dapat nafikan, mudah dipenuhi. Tanyalah sesiapa, mereka boleh sahaja mengaku, "saya muslim". Ok, seterusnya, hati. Ini juga agak sukar, bukan semua yang boleh menilai. Ia sangatlah abstrak dan subjektif. Baiklah, kita teruskan kepada yang ketiga, mengamalkan dengan seluruh anggota. "Asyik-asyik cerita pasal tudung! Tak ada benda lain ke?" Tudung itu hanya sebagai satu contoh yang paling biasa. Boleh sahaja diambil contoh-contoh lain seperti pakai seluar pendek atas lutut, berzina, mencuri, mengeji, dan lain-lain. Namun, saya ambil tudung juga, kerana ingin merujuk kepada dialog di atas.


Wanita yang tidak memakai tudung di hadapan bukan mahram (orang yang boleh dikahwini) jelas sekali tidak mengamalkan sesuatu yang sangat penting dalam Islam iaitu menutup aurat. Mereka mengaku Islam, percaya dalam hati bahawa Islam itu benar (insyaAllah) tetapi tidak mengamalkan tuntutan agama. Pendek kata, mengikut definisi Iman, Iman mereka ini tidak sempurna. Jika sebuah kereta mempunyai enjin, mempunyai badan, tetapi tidak boleh bergerak. Apakah nilaiannya kepada para pemandu?


Mengenai hati.. Jika seseorang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kewajipan sebagai seorang muslim, berdosa bukan? Ustaz saya kata, dosa akan mengelapkan hati seperti setitik air hitam yang menggelapkan air yang jernih (kerana nila setitik, rosak susu sebelanga). Dosa yang dikumpul sedikit demi sedikit lama-lama akan menyebabkan hati gelap (sikit-sikit lama-lama jadi bukit) dan apabila hati gelap, akan sukar pemiliknya untuk mendengar nasihat apatah lagi menjadi seorang yang soleh atau solehah. Menutup aurat sesuatu yang wajib dan tidak melakukannya adalah dosa besar! Ya, dosa besar. Carilah mana-mana buku 'dosa-dosa besar', tidak menutup aurat pasti ada. Setiap helai rambut seorang wanita yang dilihat oleh seorang bukan mahram akan menyebabkan satu dosa besar baginya. Bayangkan jumlah dosa yang dikumpul oleh seorang wanita tidak bertudung yang setiap hari berjalan di khalayak ramai. Setiap helai rambutnya dilihat oleh tidak kurang dari 10 orang lelaki. Ia seperti rantaian dosa yang tidak berakhir. Tidak dapat dibayangkan bagaimana gelapnya hati itu boleh menjadi.. Oleh itu, mungkin juga ini boleh dijadikan jawapan kepada "Mana tau dalam hati sebenarnya baik..".


Iman sesuatu yang perlu dipupuk sejak kecil (melentur buluh biarlah dari rebungnya). Tetapi siapa kata apabila sudah besar tiada harapan? Ramai sahaja orang yang baru menganut Islam apabila sudah tua bahkan memahaminya dan menghayatinya jauh lebih hebat daripada kita. Secara kesimpulannya di sini, Iman itu yang menjadi penentu Islam kita dan Iman itu tidak lengkap tanpa Amal. Amal pula tidak lengkap tanpa Ilmu. Janganlah dibiarkan begitu sahaja sanubari merana kerana kealpaan diri. Bukanlah niat di hati ingin merendah-rendahkan muslimah yang tidak bertudung, tetapi hanya ingin menyedarkan dan memberi peringatan kepada semua. Itu tugas yang dipikul bersama, yang telah diberi oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Marilah insaf dan beriman sepenuhnya! Wallahualam~