Baik di dalam?

"Tak pakai tudung, tak semestinya jahat! Mana tau dalam hati sebenarnya baik.."


Dialog tersebut sudah biasa didengari dalam masyarakat yang serba 'bersangka baik' ini. Saya juga pernah mendengarinya. Jadi, di sini saya ingin menerangkan beberapa pendapat sendiri yang mungkin juga boleh diendahkan jika terdapat kesalahan. :)


Kita mula dengan definisi Iman. Apakah Iman? Secara bahasanya ialah percaya. Secara mendalam (cuba periksa buku-buku teks Pendidikan Agama Islam),  ialah mengaku dengan lidah, yakin di dalam hati dan mengamalkan dengan seluruh anggota. Mari kita teliti betul-betul..secara kasarnya, boleh dirumuskan bahawa seseorang yang dikatakan beriman perlu memenuhi ketiga-tiga perkara ini: mengaku dengan lidah, yakin di dalam hati, mengamalkan dengan seluruh anggota. Mengaku dengan lidah. Ini sesuatu yang kita tidak dapat nafikan, mudah dipenuhi. Tanyalah sesiapa, mereka boleh sahaja mengaku, "saya muslim". Ok, seterusnya, hati. Ini juga agak sukar, bukan semua yang boleh menilai. Ia sangatlah abstrak dan subjektif. Baiklah, kita teruskan kepada yang ketiga, mengamalkan dengan seluruh anggota. "Asyik-asyik cerita pasal tudung! Tak ada benda lain ke?" Tudung itu hanya sebagai satu contoh yang paling biasa. Boleh sahaja diambil contoh-contoh lain seperti pakai seluar pendek atas lutut, berzina, mencuri, mengeji, dan lain-lain. Namun, saya ambil tudung juga, kerana ingin merujuk kepada dialog di atas.


Wanita yang tidak memakai tudung di hadapan bukan mahram (orang yang boleh dikahwini) jelas sekali tidak mengamalkan sesuatu yang sangat penting dalam Islam iaitu menutup aurat. Mereka mengaku Islam, percaya dalam hati bahawa Islam itu benar (insyaAllah) tetapi tidak mengamalkan tuntutan agama. Pendek kata, mengikut definisi Iman, Iman mereka ini tidak sempurna. Jika sebuah kereta mempunyai enjin, mempunyai badan, tetapi tidak boleh bergerak. Apakah nilaiannya kepada para pemandu?


Mengenai hati.. Jika seseorang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kewajipan sebagai seorang muslim, berdosa bukan? Ustaz saya kata, dosa akan mengelapkan hati seperti setitik air hitam yang menggelapkan air yang jernih (kerana nila setitik, rosak susu sebelanga). Dosa yang dikumpul sedikit demi sedikit lama-lama akan menyebabkan hati gelap (sikit-sikit lama-lama jadi bukit) dan apabila hati gelap, akan sukar pemiliknya untuk mendengar nasihat apatah lagi menjadi seorang yang soleh atau solehah. Menutup aurat sesuatu yang wajib dan tidak melakukannya adalah dosa besar! Ya, dosa besar. Carilah mana-mana buku 'dosa-dosa besar', tidak menutup aurat pasti ada. Setiap helai rambut seorang wanita yang dilihat oleh seorang bukan mahram akan menyebabkan satu dosa besar baginya. Bayangkan jumlah dosa yang dikumpul oleh seorang wanita tidak bertudung yang setiap hari berjalan di khalayak ramai. Setiap helai rambutnya dilihat oleh tidak kurang dari 10 orang lelaki. Ia seperti rantaian dosa yang tidak berakhir. Tidak dapat dibayangkan bagaimana gelapnya hati itu boleh menjadi.. Oleh itu, mungkin juga ini boleh dijadikan jawapan kepada "Mana tau dalam hati sebenarnya baik..".


Iman sesuatu yang perlu dipupuk sejak kecil (melentur buluh biarlah dari rebungnya). Tetapi siapa kata apabila sudah besar tiada harapan? Ramai sahaja orang yang baru menganut Islam apabila sudah tua bahkan memahaminya dan menghayatinya jauh lebih hebat daripada kita. Secara kesimpulannya di sini, Iman itu yang menjadi penentu Islam kita dan Iman itu tidak lengkap tanpa Amal. Amal pula tidak lengkap tanpa Ilmu. Janganlah dibiarkan begitu sahaja sanubari merana kerana kealpaan diri. Bukanlah niat di hati ingin merendah-rendahkan muslimah yang tidak bertudung, tetapi hanya ingin menyedarkan dan memberi peringatan kepada semua. Itu tugas yang dipikul bersama, yang telah diberi oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Marilah insaf dan beriman sepenuhnya! Wallahualam~

IMAM..


Ada seorang pemuda yang bermusafir. Pada suatu hari beliau tiba di sebuah kampung pada ketika samar-samar senja. Ketika itu waktu Maghrib hampir tiba. Beliau mengambil keputusan untuk singgah di surau kampung tersebut untuk menunaikan solat Maghrib. Di surau terdapat beberapa jemaah sedang menunggu untuk menunaikan solat.

 Si pemuda ini pun terus menukar pakaian danmengambil wuduk, seterusnya menyertai para jemaah untuk solat. Setelah beberapa ketika, Si pemuda itu pun berkata "Bukankah dah masuk waktu ni, kenapa kita masih belum solat?". "Kita sedang menunggu Imam," sahut salah seorang jemaah. Setelah beberapa minit menunggu dan si Imam tidak juga muncul, ketika ini si pemuda pun berkata, "waktu dah nak habis, eloklah kita solat dulu". Para jemaah bersetuju dan bersepakat untuk memilih si pemuda itu menjadi imam. Sebenarnya itulah kali pertama pemuda itu mengimamkan sesuatu solat, namun dek kerana segan, dia tidak beritahu jemaah lain. Beliau pun terus mengambil tempat imam dan memulakan solat. "Allahhu Akbar", beliau memulakan takbiratulihram dan diikuti para makmum.

Selepas itu, beliau terus membaca doa iftitah. Kemudian, dengan suara nyaring beliau terus membaca, "Bismillahirrahmanirrahim. Waddhuha. Wallai...". Tiba-tiba kedengaran makmum di belakang menyahut,  "Subhanallah!". Beliau terus berhenti membaca dan berkata dalam hati, "Mungkin bacaan aku tidak betul." Kemudian beliau berdehem sambil membetulkan anak tekak dan memulakan sekali lagi, "Bismillahirrahmanirrahim. Waaadhuuhaa. Wall....". Sekali lagi kedengaran makmum menyahut "Subhanallah." Beliau terus berhenti membaca dan berkata dalam hati lagi. "Apa lagi yang salah? Mungkin aku perlu nipiskan lagi sebutan agaknya. Prihatin betul jemaah disini." Beliau kemudian memulakan sekali lagi dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim. Waaaaadddhuuuuhaaaa.Wallai..". "Subhanallah!", sekali lagi makmum menyahut. Oleh kerana tidak berpuas hati, si pemuda terus berpusing dan mengadap makmum dan berkata, "Kenapa! Apa salahnya. Apa yang tak betulnya?. Makmum pula serentak menjawab, "Fatihahnya mana!"....

Hanya sekadar menggembirakan hati. Jangan diikut ni sampai mati! :)