6 TIPS 'JANGAN' BAGI PEMIMPIN

Saidina Umar Abdul Aziz seringkali menangis pada malam hari sepanjang tempoh beliau menjadi khalifah. Apabila khadamnya menanyakan hal tersebut, beliau menjawab, "Bukan engkau yang akan berhadapan dengan Tuhan di Akhirat kelak. Seluruh anggota tubuh serta apa sahaja yang menjadi milikku, Tuhan akan perhitungkan. Itu pun belum tentu aku akan selamat. Betapalah kini seluruh urusan umat tertanggung di atas bahu aku."

Begitulah sikap pemimpin yang bertaqwa. Taqwa itulah kelayakan paling utama sebagai pemimpin. Taqwa itulah modal utama beliau melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan benar-benar tepat menurut kehendak Allah SWT dan rasulNya. Bermodalkan taqwa itulah maka beliau memiliki anugerah Allah SWT yang sangat mahal. Anugerah itu disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dengan maksudnya:
"Dengan sebab merekalah maka orang lain dibantu. "
"Dengan sebab merekalah maka orang lain diberi rezeki. "

Ertinya bukan sahaja terbatas kepada dirinya yang dibantu oleh Tuhan dalam segala urusan, malah orang lain turut mendapat rahmat, bantuan dan pertolongan dari Tuhan.

Selepas era salafussoleh, persoalan taqwa sudah tersisih daripada kehidupan para pemimpin. Tamadun manusia semakin berkembang tetapi kepentingan taqwa dalam kepimpinan semakin tidak dipedulikan. Apabila keadaan demikian terjadi, pemimpin semakin renggang dari Tuhan, semakin jauh dari Rasulullah SAW. Akibatnya, syariat semakin terbarai dan semakin rosak, kasih sayang semakin pupus. Masyarakat sudah tidak terdidik. Sudah tidak lagi terbangun insaniah, dalam ertikata tidak lagi memiliki rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

Pada zaman salafussoleh yang mana tamadun rohani masih tinggi, masyarakatnya rata-rata masih baik, mereka amat takut dengan jawatan dan pangkat khususnya dalam kepimpinan umat. Sesiapa yang berada di tampok kepimpinan, merekalah yang paling cemas dan bimbang. Merekalah yang sentiasa kecut hati berhadapan dengan keagungan dan kebesaran Tuhan. Kebesaran Tuhan itu benar-benar menjadikan hati mereka sentiasa bergelumang dengan ketakutan. Takut, kerana Maha Besarnya Tuhan itu dengan segala sifat 'Maha'-Nya boleh memusnahkan alam semesta ini dengan sekelip mata saja. Sama sahaja di sisi Tuhan dalam hendak menjadikan seluruh alam ini dengan berkata, "Jadilah!", maka terjadilah segala-galanya.

Keadaan kepimpinan pada zaman salafussoleh itu sudah tidak terjadi lagi pada zaman masyarakat serba rosak ini, yang mana kepimpinan sudah menjadi idaman dan sebutan. Rata-rata golongan yang sangat 'ambitious' kepada kepimpinan itu sudah tidak lagi merasa takut kepada kebesaran Tuhan. Sudah tidak mempedulikan soal Hari Perhitungan. Sudah lupa akan risiko dan beban berat yang bakal ditanggung. Kepimpinan sudah menjadi lubuk kesenangan, kemewahan dan populariti. Keinginan duniawi sangat jelas terbukti dalam kalangan pemimpin itu sendiri yang mementingkan diri, keluarga dan suku-sakat yang sangat diutamakan berbanding khidmat menyelesaikan dan memenuhi urusan masyarakat.

Sebagai pemimpin, Tuhan menjanjikan ganjaran yang amat istimewa seperti disebut oleh Rasulullah SAW dengan maksud, tujuh golongan yang memperolehi naungan Arasy, yang salah satu dari tujuh golongan tersebut ialah pemimpin yang adil. Dalam keterangan hadis yang lain, Rasulullah SAW ada menyebut dengan maksud bahawa keadilan sesaat menyamai ibadah enam puluh tahun. Berdasarkan keterangan Hadis tersebut, terlalu besar perhatian Tuhan terhadap golongan pemimpin. Namun di atas keistimewaan itu perlu diingat bahawa bukan mudah untuk mencapainya. Syarat-syarat yang perlu dipenuhi amat ketat. Betapa besarnya janji Tuhan bagi mereka yang berjaya, begitulah juga berat dan keras pula ancaman Tuhan bagi mereka yang gagal dalam kepimpinan.

Banyak perkara Jangan yang mesti dihindari oleh para pemimpin. Perkara-perkara Jangan itu tidaklah dipandang berat oleh Allah SWT andainya dilakukan oleh masyarakat biasa atau rakyat jelata. Dengan kata lain, adalah amat cacat sekiranya perkara-perkara ini dibuat oleh para pemimpin. Dalam kalangan masyarakat yang bertaqwa, pemimpin tidak punya apa-apa keistimewaan malah mereka terpaksa mencapai kedudukan: “kebajikan bagi orang-orang abrar (orang soleh) itu merupakan dosa bagi orang mugharrabin (orang yang dekat dengan Tuhan)."

Sebab itulah perkara-perkara Jangan bagi pemimpin mesti dijaga agar kedudukannya terus kekal berbeza dengan rakyat biasa. Antara perkara-perkara Jangan itu ialah:

PERTAMA: Pemimpin Jangan dengan mudah merasa selamat. Di hadapan rakyat, seorang pemimpin itu sentiasa diperhatikan kerana pemimpin itu adalah tempat rujukan dan ikutan rakyat. Manakala di sisi Allah SWT pula, bukan sahaja manusia, terabai tanggungjawab terhadap haiwan pun memungkinkan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Rasa selamat itu ertinya sudah lupusnya rasa kehambaan. Sedangkan seorang hamba itu, hendaklah sentiasa merasai berdosa walaupun dalam keadaan tidak berdosa. Betapalah kalau memang berdosa. Mengekalkan rasa kehambaan yang mendalam itulah yang mendorong seorang pemimpin sentiasa merintih dan mengadu kepada Tuhannya agar sentiasa memberinya petunjuk dan pimpinan.

Rasa kehambaan juga menjadikan seorang pemimpin itu sentiasa bertaubat memohon keampunan. Taubat itu pula merupakan salah satu saluran bantuan Allah SWT. Selain itu, yang lebih penting ialah seorang pemimpin bertanggungjawab membawa manusia kepada Tuhan. Membawa manusia merasai rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Tanggungjawab atau peranan itu tidak akan berkesan kecuali pemimpin itu sendiri memiliki rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

KEDUA: Pemimpin Jangan tercabar dengan sebarang kritikan. Anggaplah sebarang kritikan umpama ada orang yang memberitahu bahawa dalam baju kita ada lipan. Sekalipun pemimpin tidak bersalah, terimalah lebih dahulu sebarang kritikan. Wibawa seorang pemimpin akan jatuh sekiranya awal-awal lagi sudah memberi reaksi sembrono, gopoh dan melenting.

KETIGA: Pemimpin Jangan mudah merajuk. Sedari dan fahamilah bahawa masalah manusia tidak akan selesai dunia akhirat. Bertambah tidak selesai, bertambah kusut dan buntu andainya pemimpin membawa diri kerana merajuk. Masalah akan terus terbiar sekiranya pemimpin memilih untuk lari dari masalah.

KEEMPAT: Pemimpin Jangan menutup pintu perbincangan, muzakarah atau berkongsi idea, buah fikiran dan pandangan. Jangan sekali-kali bersikap tidak menerima perbezaan pendapat, Jangan timbul rasa tidak senang terhadap mereka yang memberi pendapat yang bertentangan. Lebih-lebih lagi pantang sama sekali seorang pemimpin itu mencari jalan menghapuskan mereka yang tidak sependapat, ertinya menyamatarafkan mereka sebagai musuh.

KELIMA: Pemimpin Jangan suka diampu. Sikap begini akan menjadikan seseorang pemimpin itu dikelilingi oleh pengampu. Pengampu bukan bererti penyokong dan pengampu juga seringkali tidak jujur. Mereka mempunyai muslihat untuk kepentingan diri. Laporan dari para pengampu ini seringkali kurang tepat. Sekiranya seorang pemimpin itu membuat keputusan dan bertindak atas laporan tidak tepat dari puak pengampu maka akan timbul pelbagai fitnah di dalam masyarakat.

KEENAM: Pemimpin Jangan hanya bersedia terhadap orang atau sesuatu keadaan yang menyenangkan saja, yakni kalau tidak selesa mudah menarik muka dan menarik diri. Kalau tidak sesuai dengan selera dan keselesaan diri maka ditolaknya. Pemimpin yang bersikap begini adalah pemimpin yang lemah, yang tidak berupaya menanggung risiko. Kalau pemimpin tidak mahu mengambil risiko, betapalah rakyat biasa.

Mana-mana pemimpin yang ada pada dirinya perkara-perkara yang tersebut di atas maka dia adalah pemimpin yang ego dan tidak memenuhi syarat sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang begini pasti tidak mendapat pertolongan Tuhan dalam urusan kepimpinannya. Ini kerana dia tidak menghayati tugas dan peranan pemimpin.

Seorang pemimpin itu mestilah dengan penuh sedar bahawa tanggungjawab dan amanah Allah itu hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dalam melaksanakan urusan kepimpinan itu, Tuhan mahu melihat sejauh mana kesabaran dan pergantungan kita kepada Tuhan. Manakala kejayaan dalam urusan itu terserah kepada Allah SWT. Terdapat contoh sejarah dalam kalangan para rasul yang Tuhan tegur lantaran sikap kurang sabar, merajuk dan kurang bergantung kepada Tuhan. Contohnya, ialah Nabi Yunus AS. Sedikit sikap merajuk atau kurang sabar Nabi Yunus itu bukanlah sampai terjatuh ke tahap dosa. Hanya sedikit rasa kurang selesa dengan kaumnya yang degil dan menyanggah seruannya. Lantaran itulah maka Nabi Yunus AS ditegur oleh Allah SWT. Teguran Tuhan itu didatangkan dalam bentuk Allah timpakan kesusahan kepada Nabi Yunus yang mana beliau ditelan oleh ikan paus. Kejadian itu menyedar dan menginsafkan Nabi Yunus AS. Lantas Nabi Yunus AS bertaubat tidak putus-putus.

Apabila taubat Nabi Yunus AS itu diterima dan Nabi Yunus AS kembali berserah kepada Tuhan, maka Tuhan keluarkan beliau dari perut ikan tersebut. Sewaktu kaumnya menemui Nabi Yunus AS terdampar di sebuah pantai, keadaan tubuhnya amatlah lemah. Kaumnya menerima Nabi Yunus AS dan memulihkannya. Kaumnya telah mengalami perubahan yang amat ketara. Perubahan kaum Nabi Yunus AS itu berlaku ketika Nabi Yunus AS masih berada di dalam perut ikan. Ertinya perubahan yang berlaku itu tanpa diusahakan oleh Nabi Yunus AS, dan tanpa sebarang penentangan.

Iktibar penting dari peristiwa Nabi Yunus AS dengan kaumnya itu ialah betapa sedikit sahaja tersilapnya seorang pemimpin, maka Allah datangkan kifarah atau denda sebagai penebus dosa. Dan apabila seorang pemimpin itu bersungguh-sungguh memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Tuhan, bertaubat, memohon ampun, merintih, merayu dan menyerah diri kepada Tuhan, tanpa diusahakan, Tuhan jadikan masyarakat berubah, betapalah kalau disertakan dengan usaha. Adakalanya kedegilan umat, ingkarnya umat, keras kepalanya, tidak mahu patuh, itu adalah merupakan ‘signal’ dari Tuhan bahawa pemimpin itulah yang sangat perlu memperbaiki dirinya. Apabila Tuhan sudi memandang dirinya maka Tuhanlah yang berhak menunaikan janjiNya melalui perubahan kepada masyarakat.

Beringatlah..6 Jangan bagi pemimpin...

No comments:

Post a Comment